Dua wanita rugi RM3,500 seorang, diperdayakan dengan pemberian ‘hadiah’ oleh kenalan media sosial

Supt Maria Rashid

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 25 Mac: Terpedaya dengan pemberian ‘hadiah’ memyebabkan seorang wanita mengalami kerugian sekitar RM3,550 oleh kenalan ‘Facebook’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Maria Rashid berkata mangsa berusia 33 tahun dan bekerja di sebuah Jabatan Kerajaan di Simunjan telah berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama ‘Reyyan Jackson’ di Facebook sejak 26 Februari lepas.

Difahamkan, baharu sahaja berkenalan dua minggu, suspek yang kononnya berasal dari United Kingdom itu memberitahu mangsa bahawa dia ada menghantar ‘hadiah’ kepadanya.

“Suspek mendakwa ada menghantar bungkusan barang dan di dalamnya mengandungi barang kemas, komputer riba, iPhone dan wang tunai USD dan kemudian meminta mangsa membayar cukai pelepasan Kastam sebanyak RM3,000.

“Kemudian mangsa telah dihubungi orang tidak dikenali melalui WhatsApp untuk membuat pengesahan dirinya dan seterusnya mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran RM3,000 ke satu akaun sebagai bayaran cukai pelepasan barangan kiriman rakan media sosialnya itu.

“Mangsa kemudian telah membuat (2) transaksi pemindahan wang berjumlah RM3,550 secara online ke satu akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali pada 5 dan 6 Mac 2021 seperti yang diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa menyedari ditipu setelah suspek memintanya membuat bayaran tambahan sebanyak RM10,000.

Mangsa kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian.

Selain itu, seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuching juga mengalami kerugian RM3,500 selepas diperdayakan dengan pemberian ‘hadiah’.

Maria memberitahu, mangsa berusia 27 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Instagram dengan nama ‘Joseph Foster Smith’ dan mendakwa berasal dari United Kingdom pada 5 Mac baru-baru ini.

“Setelah perkenalan itu, suspek mengatakan akan memberikan kotak hadiah yang mengandungi barang-barang berharga seperti beg tangan, wang tunai sebanyak 20,000 GBP, telefon, barang kemas, minyak wangi, komputer riba dan jam tangan kepada mangsa sebagai hadiah tanda persahabatan.

“Pada 16 Mac, mangsa telah terima pesanan melalui WhatsApp mengatakan ejen dari pihak DTDC Delivery Services Company dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM3,500 sebagai bayaran cukai pelepasan pihak Kastam di KLIA kerana kotak yang dikirim suspek mengandungi matawang Pound Sterling.

“Mangsa kemudian membuat dua transaksi kemasukan wang berjumlah RM3,500 melalui mesin ATM di sebuah bank di Bandaraya Kuching ke satu akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali pada 16 dan 18 Mac,” kata Maria.

Mangsa hanya menyedari diri ditipu apabila suspek meminta bayaran tambahan berjumlah RM8,810 sebagai bayaran pelepasan barangan kiriman, namun barangan itu tidak diterima mangsa.

Nasihat Maria, Jangan terlalu mudah menerima permohonan untuk menjadi rakan di media sosial jika tidak pasti kesahihan akaun pemohon itu.

“Buat pengesahan terlebih dahulu sama ada akaun media sosial itu benar atau palsu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pujian atau pujuk rayu rakan media sosial.

“Jangan terlalu mudah percaya dengan apa-apa tawaran seperti pemberian hadiah, bunga, coklat dan sebagainya dari rakan media sosial,” tegasnya. – DayakDaily