Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Sept: Pertandingan fotografi dan videografi dengan hadiah keseluruhan bernilai RM15,500 akan diadakan sempena Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal, Penerangan dan Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, pertandingan bermula dari 18 Sept hingga 29 Sept ini.
Katanya, terdapat tiga kategori untuk disertai iaitu Fotografi Terbuka, Fotografi Belia, dan Videografi.
Untuk Fotografi Belia, ia terbuka kepada pelajar sekolah, kolej dan universiti dalam Malaysia.
“Pemenang pertama Fotografi Terbuka akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000 serta lima hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap seorang,” kata Abdullah.
Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis perasmian Pusat Media Utama Para Sukma Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Bagi kategori Fotografi Belia dan Videografi pula, tambah Abdullah, pemenang pertama akan menerima RM2,000.
Pemenang kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM1,000 dan RM750 serta lima hadiah sagu hati bernilai RM100 setiap seorang.
Turut diadakan pertandingan ‘Picture & Article Of The Day’ khusus untuk agensi atau pengamal media yang bertugas sepanjang Para Sukma Sarawak 2024.
Pertandingan ini akan diadakan bermula 18 Sept hingga 29 Sept di mana gambar dan artikel terbaik berpeluang untuk memenangi RM100 setiap hari.
Terma dan syarat pertandingan boleh didapati dengan mengimbas Kod QR dalam infografik yang boleh didapati di lawan sesawang rasmi Para SUKMA https://para.sukmasarawak2024.my/web/home/index/ XXI Sarawak 2024 di www.parasukmasarawak2024.my atau di laman Facebook rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas). — DayakDaily