Panik kononnya terlibat kes jenayah, pekerja farmasi rugi RM16,000 

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 16: Gara-gara terpedaya dengan panggilan kononnya dari seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang pekerja farmasi kerugian RM16,000 akibat ditipu ‘Macau Scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata laporan diterima mengatakan wanita berusia 25 itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Tuan Halim dari SPRM.

Advertisement

Suspek kemudian mengatakan mangsa terlibat pengubahan wang di Labuan dan dia telah merujuk kes kepada kononnya pegawai polis, Inspektor Liu, untuk menjelaskan kesalahan mangsa.

“Kemudian mangsa dirujuk kepada Tuan Kamaru kononnya dari Bahagian ‘Anti-Money Laundering Act’ dan akhirnya dirujuk kepada Puan Sheera kononnya dari Jabatan Audit untuk mengaudit akaun mangsa.

“Seterusnya mangsa diarahkan untuk memindahkan segera wang RM16,100 melalui transaksi dalam talian RHB Bank ke akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atas nama Mohd Salim Abdullah untuk perlindungan kewangan selama 24 jam masa audit,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu pada hari yang sama mangsa telah memindahkan wang ke akaun tersebut sebanyak dua kali. Selepas memasukkan wang itu, mangsa dikatakan gagal menghubungi suspek sebelum dia sedar telah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk melakukan siasatan lanjut. Jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah sebanyak RM16,000,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement