Pakan perlu kawasan industri, zon campuran untuk pembangunan menyeluruh

Gambar ucapan Tahun Baru Cina 2019 Sng yang disiarkan di laman Facebook.

KUCHING, 8 Feb: Kerajaan negeri disarankan untuk membuka lebih banyak kawasan industri dan tanah zon campuran di Pakan untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Ini untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di daerah Pakan yang telah dikenalpasti sebagai daerah termiskin di Malaysia, kata Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien.

“Kerajaan negeri Sarawak harus mewujudkan lebih banyak kawasan campuran dan industri di Pakan untuk menarik para pelabur untuk dan seterusnya menggalakkan pembangunan di kawasan Julau,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook semalam.

Sng berkata pembukaan kawasan terbabit akan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

“Ini amat penting, terutama dalam keadaan Pakan yang dikenalpasti sebagai daerah paling miskin di Malaysia.


“Tambahan pula, hal-ehwal tanah adalah terletak di dalam bidang kuasa kerajaan negeri,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau meluahkan rasa terkejut dengan berita mengenai Pakan dikenalpasti sebagai daerah paling miskin di Malaysia.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur atas keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan untuk menaikkan pembangunan sosioekonomi Pakan yang sebelum ini tidak diambil peduli,” katanya. — DayakDaily