Pakan berpotensi sebagai destinasi pelancongan menarik – Abdul Karim

Abdul Karim (tiga dari kanan) merasmikan Pesta Pakan 2022. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 27 Sept: Daerah Pakan memiliki banyak potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang menarik, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abdul Karim berkata, Pesta Pakan merupakan satu produk pelancongan yang sangat menarik dan mampu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Justeru, beliau menyarankan agar produk pelancongan itu dapat dipertingkatkan lagi supaya dapat hidup sepanjang tahun dan bukan sahaja ketika pesta itu diadakan.

Advertisement

“Pakan akan menjadi destinasi pelancongan bagi pelancong asing mahupun domestik untuk mengunjungi kawasan ini dan melihat produk yang terdapat di sini.

“Industri pelancongan merupakan satu industri yang cukup besar dan banyak negara bergantung sepenuhnya kepada sektor ini,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian di Majlis Pelancaran Pesta Pakan 2022 yang diadakan di Komplek Sukan Pakan pada Ahad (25 Sept).

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa penghasilan produk lada di daerah Pakan merupakan pengeluaran yang terbaik di negeri Sarawak.

“Sarawak adalah salah satu negeri pengeluar lada terbaik di dunia.

“Satu ketika dahulu, Sarawak pernah menjadi pengeluar nombor satu dunia lada, dan hari ini kita sudah menurun ke peringkat nombor empat atau nombor lima.

“Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana lada kita adalah antara yang terbaik dan telah diketahui oleh dunia,” ujarnya.

Tambahnya, kepelbagaian produk samada dari sudut pertanian, perikanan, kesenian, dan kebudayaan adalah juga merupakan produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancong datang.

Pada hari yang sama, Abdul Karim berkesempatan menghadiri program Town Hall Jelajah Belia bertempat di Dewan Pejabat Daerah Pakan.

Sesi ‘town hall’ telah menarik minat seramai 250 orang belia di sekitar Pakan untuk hadir dan berdialog bersama menteri yang menjadi landasan para belia untuk melontarkan aspirasi dan pandangan mereka.

Turut hadir Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan MP Julau Datuk Larry Sng Wee Shien. — DayakDaily

Advertisement