Oleh Chris Bishop
KUCHING, 31 Julai: Acara Padawan Raft Safari Edisi ke-21 akan diadakan pada 20 Oktober depan.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai, dijangka 150 ke 200 peserta tempatan dan pasukan antarabangsa bakal menyertai edisi kali ini.
“Ini menunjukan acara ini semakin popular dan dinanti-nantikan oleh pengemarnya,” kata Tan Kai pada sidang media di sini hari ini.
Padawan Raft Safari 2024 yang menyediakan hadiah keseluruhan RM19,000 dianjurkan MPP bersama Grit Event Management dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
Pelbagai kategori dibuka tahun ini, termasuk Terbuka, Kayak, Hotel dan Lawatan, Terbuka Wanita dan Agensi Kerajaan.
Tambah Tan Kai, acara akan bermula di lokasi berbeza bergantung kepada kategori.
Bagi kategori kayak 40km, katanya, ia akan bermula di Kampung Annah Rais pada jam 7.30 pagi.
Kategori terbuka 32km pula bermula di Kampung Temurang jam 8.30 pagi.
“Bagi kategori agensi kerajaan, hotel dan NGO sejauh 22km bermula jam 9.30 pagi di Kampung Danu, manakala kategori wanita sejauh 15km bermula jam 10.30 pagi di Kampung Semedang.
“Semua kategori akan berakhir di Kampung Git dimana acara penutupan diadakan pada jam 3 petang,” kata Tan Kai.
Untuk keterangan lanjut, lawat laman web www.padawanraft.com.
Pendaftaran bermula 31 Julai 2024 dan ditutup pada 20 Sept 2024. — DayakDaily