Padah tertarik iklan pinjaman wang di FB, peniaga lesap RM3,450

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 2: Padah tertarik dengan satu tawaran iklan pinjaman wang melalui laman sosial Facebook (FB), seorang peniaga terpaksa berputih mata selepas rugi RM3,450.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah melayari FB pada Mac lepas sebelum tertarik dengan satu iklan dari sebuah syarikat pinjaman wang.

Advertisement

Jelasnya, mangsa yang berminat meminjam wang sebanyak RM10,000 kemudian menghantar nombor telefon dan kad pengenalan kepada pemilik profil FB tersebut.

“Pada hari sama, mangsa telah dihubungi oleh kononnya wakil syarikat pinjaman tersebut dan meminta butiran mangsa bagi tujuan urusan pinjaman.

“Suspek kemudian memberitahu proses pinjaman telah lulus dan duit pinjaman akan dimasukkan ke dalam akaun bank mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, tidak lama selepas itu, suspek kemudian memberitahu duit yang telah dimasukkan hanya RM900 bukannya RM10,000.

Katanya, suspek memaklumkam mangsa perlu meminjam dalam jumlah yang kecil kerana risau tidak dapat membayar pinjaman dalam tempoh ditetapkan.

“Selepas seminggu disuruh membayar RM600 dan seterusnya beberapa kali bayaran sehingga mencecah RM3,450.

“Malah, suspek mengugut untuk membakar rumah mangsa jika tidak membayar wang itu. Mangsa sedar dirinya telah ditipu setelah dia tidak menerima wang pinjaman itu,” katanya. — DayakDaily

Advertisement