Kerani rugi RM13,698.70 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, Mei 2: Seorang kerani rugi RM13,698.70 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon di mana suara audio komputer yang bercakap dan meminta mangsa menekan 1 untuk bercakap dengan pegawai Kastam.


Jelas beliau, kemudian panggilan mangsa berusia 49 tahun itu disambung kepada seseorang kononnya pegawai Kastam dan menyatakan bahawa nama mangsa telah didaftarkan atas sebuah syarikat di Kuala Terengganu dan syarikat tersebut ada cukai GST tertunggak berjumlah RM400,000.

“Mangsa kemudian menafikan kesemua dakwaan itu dan suspek tersebut meminta telefon mangsa untuk disalurkan kepada pihak polis bagi membantu mangsa.

“Pada hari sama, mangsa telah menerima panggilan telefon kononnya dari polis Terengganu dan suspek mendakwa kad pengenalan mangsa pernah hilang dan disalahgunakan oleh seorang individu yang terlibat dengan penjualan syabu,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa seterusnya menafikan semua tuduhan tersebut.

Katanya, suspek kemudian memberitahu akan mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek jika tidak memberi kerjasama.

“Mangsa yang panik terus mengikut arahan daripada suspek sebelum suspek mengarahkan mangsa memberikan nombor akaun banknya bagi mengelak kesemua akaun bank mangsa dibekukan.

“Mangsa kemudian telah menyemak akaun banknya dan mendapati wang sebanyak RM13,698.70 berkurangan,” katanya. — DayakDaily