SIBU, Mac 15: Tindakan seorang lelaki warga emas memasukkan kemaluannya dalam botol air minuman mengundang padah apabila gagal mengeluarkannya dalam satu kejadian di sebuah rumah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, mangsa yang berusia 72 tahun itu terpaksa menahan malu apabila terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Hospital Sibu pada pukul 6.20 pagi.
Katanya, petugas hospital terpaksa meminta bantuan anggota bomba selepas usaha untuk mengeluarkan kemaluan mangsa menemui jalan buntu.
“Sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan bantuan khas.
“Sebaik tiba di hospital, anggota bomba mendapati mangsa masih menahan kesakitan selepas kemaluannya masih tersekat pada botol itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, pasukan bomba kemudian melakukan khidmat khas memotong botol plastik itu dengan menggunakan peralatan khas.
Katanya, anggota bomba terpaksa melakukan kerja-kerja memotong botol itu dengan teliti bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.
“Operasi khas itu mengalami masa kira-kira 30 minit sebelum kemaluan mangsa yang tersekat dapat dikeluarkan tanpa ada kecederaan serius.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.03 pagi, dan mangsa kemudian diserahkan kepada petugas hospital untuk rawatan susulan,” katanya lagi. — DayakDaily