Jurujual lelaki temui ajal dalam kemalangan

Keadaan kereta selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal.

SARIKEI, Mac 15: Seorang jurujual menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di KM428, Jalan Betong-Sarikei dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Presly Untul Renang, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, semasa insiden mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan sedang dalam perjalanan ke Pekan Jakar.

Katanya, malang menimpa mangsa apabila motosikalnya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan kereta Proton Saga BLM di laluan bertentangan.

“Kesan rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan terjatuh atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu kereta berusia 38 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta itu untuk tindakan susulan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily