Padah larikan dompet peniaga, lelaki dibelasah sebelum diserahkan kepada polis

Kelihatan suspek (baju putih) ditahan oleh orang awam.

KUCHING, Okt 2: Gara-gara melarikan dompet milik peniaga ayam penyet, seorang lelaki dibelasah oleh orang awam dalam satu kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Semarak di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8.30 pagi itu berlaku apabila suspek yang berumur 29 tahun sebelum secara tiba-tiba melarikan dompet milik peniaga wanita berkenaan selepas memasuki kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, tindakan suspek itu untuk meloloskan diri tidak berjaya apabila jeritan minta tolong peniaga terbabit didengari orang awam yang kemudian bertindak mengejar dan menangkap lelaki berkenaan.


Katanya, orang awam kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 10 tahun dan juga didenda,” katanya di sini hari ini. — DayakDaily