Jangan terpedaya dengan janji parti ‘luar’ berhubung perjuangan hak Sarawak, kata Dr Hazland

Dr Hazland (kiri) menandatangi plak sebagai perasmian Padang Futsal Kampung Tanjung Bako.

KUCHING, Okt 2: Golongan muda khususnya belia dan pengundi muda diingatkan jangan terpedaya dan keliru dengan janji-janji yang diberikan parti-parti ‘luar’ Sarawak berkenaan mahu memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) komited dalam memperjuangkan hak orang Sarawak menerusi MA63.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu, GPS juga akan terus memperjuangkan hak orang Sarawak dan seterusnya memperjuangkan MA63.


“Itu hak kita (rakyat Sarawak), jangan keliru, khususnya kepada belia-belia dan pengundi muda.

“Ingatlah, hak-hak kita dalam MA63 harus dikembalikan kepada kita rakyat Sarawak melalui parti PBB kita yang benar-benar berjuang demi Sarawak,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Padang Futsal Kampung Tanjung Bako di sini.

Sementara itu, Dr Hazland memberitahu, Padang Futsal Kampung Tanjung Bako itu adalah salah satu projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Demak Laut pada 2017.

Katanya, ianya merupakan projek ADUN di bawah program pembangunan DUN Demak Laut dengan kosnya sebanyak RM200,000.

“Kita akan naik taraf padang futsal ini dari semasa ke semasa, malah sebanyak lima buah projek pembinaan padang futsal telah diluluskan di kawasan DUN Demak pada tahun ini.

“Kesemua padang futsal di lima buah kampung tersebut iaitu Kampung Pinggan Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Semilang, Kampung Bako Hijrah dan Kampung Bako Hulu akan dan disiapkan pada tahun ini juga,” ujarnya lagi. — DayakDaily