CIDB ingatkan kontraktor utamakan keselamatan di tapak pembinaan

Construction Industry Development Board (CIDB) logo

KUCHING, Jun 8: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini mengingatkan semua kontraktor di negara ini untuk mengutamakan keselamatan dalam pelaksanaan projek pembinaan.

Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, keselamatan adalah sangat kritikal terutamanya di dalam projek pembinaan yang terletak berhampiran dengan tempat awam.

Jelas beliau, mengikut Seksyen 34B (1) (c), Akta CIDB kontraktor bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan.


“Sesiapa yang disabitkan bersalah melanggar tanggungjawab tersebut, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“Sekiranya kesalahan tersebut menyebabkan kematian, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Baru-baru ini, di sebuah projek pembinaan di Klang, sebuah ‘bored pile casing’ tertanggal dari rantai pengikat semasa cuba diangkat oleh kren di kawasan yang berhampiran dengan trafik.

Namun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan yang dilaporkan.

Manakala di Kuala Lumpur pula, sebuah jentera pengorek tumbang di sebuah tapak pembinaan sehingga menghempap lima kenderaan yang diletakkan di tempat parkir berhampiran.

Namun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

CIDB telah mengeluarkan notis untuk kedua-dua syarikat terbabit hadir ke pejabat CIDB untuk memberi maklumat dan keterangan mengenai kejadian tersebut. — DayakDaily