Padah gaduh di dalam sebuah pusat hiburan, dua lelaki ditahan polis

Kedua-dua suspek (barisan tengah) diberkas anggota JSJ IPDM Miri awal pagi semalam (Ahad).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Mei: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis selepas terlibat dalam satu insiden pergaduhan ketika mabuk di dalam sebuah pusat hiburan di Pusat Komersial Centrepoint awal pagi Ahad (22 Mei).

Difahamkan beberapa individu turut dilaporkan cedera dalam kejadian selepas terkena balingan botol kaca.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, susulan kejadian, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan kedua-dua suspek yang menjadi punca kejadian.

“Objek yang digunakan dalam pergaduhan tersebut juga turut dirampas,” ujarnya.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 39 tahun itu sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kertas siastan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuka.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menggunakan sebarang kekerasan dalam menyelesaikan pertelingkahan dan pergaduhan demi menjaga kesejahteraan dan keamanan bersama.

“Pihak Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan jenayah kekerasan ini,” jelasnya. — DayakDaily