Bekas penyewa berjiwa ‘setan’ bawa lari barangan milik tuan rumah diberkas polis

Suspek (tengah baju putih) diberkas anggota JSJ IPD Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Mei: Padah ‘panjang tangan’ seorang lelaki berusia 41 tahun dicekup polis kerana disyaki melarikan beberapa barangan milik bekas tuan rumahnya.

Kejadian disedari pada awal bulan April yang lalu apabila mangsa, berusia 55 tahun datang ke kediaman tersebut yang terletak di RPR Taman Permai Bandar Baru Permyjaya.


Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah sebuah televisyen, satu tong gas memasak dan seunit mesin basuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek diberkas semasa Ops Pintu lewat peyang Ahad (22 Mei) di sebuah kediaman di Jalan Hill Top sekitar jam 6 petang.

Katanya, semasa tangkapan suspek telah bertindak agresif terhadap anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

“Anggota kita terpaksa menggunakan kekerasan yang minima bagi menjayakan tangkapan tersebut,” ujarnya.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily