Padah cuba langgar pegawai Imigresen, polis cekup seorang lelaki

Inilah suspek yang ditahan polis.

LIMBANG, Sept 11: Gara-gara enggan mengikut arahan untuk memberhentikan kereta bagi tujuan pemeriksaan semasa melalui Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tedungan di sini semalam, seorang lelaki diberkas polis.

Suspek berusia 46 tahun itu diberkas pada pukul 5.45 petang susulan laporan yang diterima.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai berkata, sebelum itu, berdasarkan maklumat yang diterima, suspek yang memandu kereta Proton Waja dikatakan datang dari arah Brunei Darussalam menuju Limbang


Bagaimanapun katanya, apabila sampai di CIQ itu, pegawai dari Jabatan Imigresen kemudian meminta suspek memberhentikan kereta untuk tujuan pemeriksaan.

“Akan tetapi, suspek enggan berbuat demikian malah memecut kereta dan hampir melanggar pegawai berkenaan.

“Namun, nasib menyebelahi pegawai Imigresen itu apabila mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Bukhori memberitahu, hasil maklumat daripada pegawai terbabit, polis dapat mengesan kereta yang dipandu oleh suspek.

Katanya, suspek kini ditahan reman hingga Sept 15 depan untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya lagi. ā€” DayakDaily