Penjenayah rompak dua lelaki OKU diberkas

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Sept 11: Tiga penjenayah yang menjadi buruan selepas merompak dua lelaki orang kurang upaya (OKU) diberkas polis.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan di Lubok Antu selepas disyaki melarikan diri setelah melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Acp Ng Ah Lek berkata, berdasarkan laporan diterima, ketiga-tiga suspek telah merompak dua lelaki OKU di Jalan Tun Abdul Razak, di sini.


Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian melarikan kereta Perodua Viva yang dinaiki kedua-dua mangsa berkenaan.

“Hasil maklumat awam, polis kemudian mengesan pergerakan ketiga-tiga suspek menuju ke arah Sri Aman.

“Bertindak mengikut risikan yang dilakukan, ketiga-tiga suspek dicekup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ng menambah, dalam serbuan tersebut polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan suspek semasa kejadian.

Katanya, pemeriksaan lanjut menjumpai dua senjata tajam yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

“Semua suspek direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya. — DayakDaily