Orang ramai dipelawa membuka gerai jualan di Sarawak Regatta 2018

Perlumbaan perahu Sarawak Regatta di Tebingan Kuching dua tahun lepas.

KUCHING, Okt 14: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mempelawa orang ramai untuk membuka gerai jualan bagi memeriahkan lagi acara lumba perahu Sarawak Regatta 2018 di Tebingan Kuching di sini, yang akan bermula Okt 26 hingga Nov 4 depan.

DBKU juga telah menetapkan beberapa lokasi bagi menempatkan penjaja-penjaja bermula Okt 26–28 (Jumaat–Ahad) dan Nov 2–4 (Jumaat–Ahad) di sepanjang Jalan Gambier dan Esplanade Kuching.

“Sebanyak 240 petak telah disediakan dengan kategori jualan seperti berikut: tekstil, aksesori, permainan kanak-kanak dan lain-lain; makanan dan minuman; makanan ringan (berbungkus); dan buah-buahan,” menurut kenyataan media pihak berkuasa tempatan itu baru-baru ini.

Bayaran permit untuk tempoh enam hari tersebut adalah sebanyak RM150 sepetak yang berukuran 10’ x 10’. Penjaja-penjaja hendaklah menggunakan meja dan kanopi sendiri dengan ukuran 10’ x 10’ semasa menjalankan aktiviti perniagaan untuk memastikan keseragaman dan memudahkan kerja-kerja susun atur dilakukan.

Jualan petak akan diadakan di Kaunter Tiket Stadium Perpaduan, Jalan Stadium Kuching pada Okt 17 (Rabu) mulai jam 8.30 pagi. Semua petak jualan yang ditawarkan adalah atas dasar ‘First Come, First Serve’,” menurut kenyataan itu.

Penjaja dikehendaki datang sendiri dan mestilah membawa dua keping gambar berukuran pasport; satu salinan kad pengenalan; sijil kursus pengendalian makanan; laporan pemeriksaan kesihatan beserta suntikan tifoid (vaksin kepialu) atau salinan kad pengendalian makanan yang dikeluarkan oleh DBKU; dan yuran pembayaran tunai RM150.

Seterusnya, penjaja-penjaja yang telah mendaftar perlu menghadiri taklimat dan membuat cabutan undi petak jualan pada Okt 23 (Selasa) di Auditorium DBKU, Bukit Siol.

DBKU juga memberi ingatan kepada penjaja-penjaja supaya senantiasa memastikan kebersihan petak, keselamatan makanan yang dijual dan mematuhi peraturan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan pihaknya sepanjang pesta ini berlangsung nanti. Jika terdapat sebarang pertanyaan atau kemusyilan, mereka diminta menghubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-234654 / 234657. — DayakDaily