Rumah Panjang Unsa Sekandis berdepan masalah tanah susur

Anggota bomba melakukan pemantauan di lokasi tanah susur.

By Dean Adam

LUBOK ANTU, Okt 14: Penghuni di Rumah Panjang Unsa Sekandis, Ulu Lemanak dekat sini memerlukan perhatian pihak berkuasa berikutan kejadian tanah susur berlaku di kawasan rumah panjang berkenaan.

Jurucakap bomba dan penyelamat Betong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.03 pagi.


Katanya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke rumah panjang yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Betong.

“Apabila tiba di rumah panjang tersebut, anggota bomba mendapati terdapat tanah susur berlaku di bahagian hadapan dan belakang rumah panjang berstruktur kekal sepanjang 27 pintu itu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kejadian berkenaan tidak melibatkan mangsa atau kerosakan harta benda,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba melakukan pemantauan di lokasi tanah susur.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba kemudian membuat pemantauan dan menasihatkan agar penduduk kampung berhati-hati dan menjauhi kawasan runtuhan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada penghuni rumah panjang itu, insiden tanah susur itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

“Buat masa ini, tindakan pasukan bomba ialah memberi nasihat kepada penghuni rumah panjang agar lebih berjaga-jaga dan meminta menghubungi pihak bomba sekiranya kejadian sama berulang semula,” ujarnya. — DayakDaily