Orang ramai dijemput hadir Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam

Sharifah Halimah merasmikan Hari Bertemu Pelanggan JKDM peringkat negeri Sarawak di Kuching.

KUCHING, 20 Jan: Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) peringkat negeri Sarawak dilancarkan hari ini di pusat membeli belah Aeon Mall.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 22 Januari telah disempurnakan pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha.

“Program ini bertujuan memberi peluang dan kemudahan kepada masyarakat yang mempunyai masalah atau aduan berkenaan dengan percukaian berkaitan dengan JKDM.


“Komuniti perniagaan boleh bertemu terus dengan pegawai-pegawai JKDM bagi menyelesaikan isu dan permasalahan yang timbul dengan segera,” kata Sharifah Halimah pada ucapan perasmian.

Pada esok dan lusa, program hari bertemu pelanggan ini akan diadakan di Wisma Kastam Medan Raya, Petra Jaya. Program yang sama juga diadakan di enam pejabat Kastam di seluruh negeri.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai kanan JKDM.

Pada majlis pelancaran hari ini, turut diadakan pameran JKDM dan kempen derma darah. — DayakDaily