KOTA SAMARAHAN, Mei 15: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas sebuah Toyota Hilux miliknya terhumban masuk ke dalam Sungai Samarahan semalam masih gagal menemui petunjuk positif, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, seramai 33 anggota bomba termasuk pasukan penyelam dalam air (PPDA) terlibat dalam operasi SAR yang memasuki hari kedua itu.
Jelas beliau, pasukan SAR ada mengesan tompokan minyak dipercayai dari Toyota Hilux di beberapa lokasi di permukaan sungai di situ.
“Anggota PPDA akan melakukan penyelaman apabila kedudukan kenderaan pacuan empat roda tersebut dikenalpasti.
“Kita percaya, mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan itu.
“Bagaimanapun, setakat pukul 7 petang tadi, mangsa dan Toyota Hilux tersebut masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tiong menambah, selain menfokuskan pencarian di permukaan air, pasukan bomba turut menggunakan peralatan khas ‘grappling iron’ untuk mengenalpasti kedudukan Toyota Hilux itu.
DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas Toyota Hilux yang dipandu terjatuh dari feri di Pangkalan Feri Kota Samarahan di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, dilaporkan hilang selepas tenggelam bersama Toyota Hilux yang dipandunya.
Sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu semasa berada di atas feri tersebut. — DayakDaily