Ops Dadu: Lima wanita tempatan ditahan di Miri

Anggota D7 IPK Sarawak bersama JSJ Miri mengempur premis tersebut.

MIRI, 30 Mei : Lima wanita warga tempatan dicekup dalam satu serbuan ke atas sebuah premis semasa Ops Dadu di Jalan Merpati pada Ahad (28 Mei).

Kesemua suspek berusia 23 sehingga 37 tahun itu kini sedang ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan pihak polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, Ops Dadu disertai anggota dari Unit D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Miri.


“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, pihak polis telah merampas enam buah komputer serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan aktiviti judi atas tahan,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mejalankan aktiviti perjudian atas talian.

Dalam pada itu, pihak polis turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat atau bersubahat dalam sebarang aktiviti perjudian. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat atau menghubung) talian 085-433730 untuk menyampaikan sebarang informasi berkaitan. — DayakDaily