Ops cari lelaki terjatuh bersama kren belum temui petunjuk positif

Kelihatan kren yang terjatuh ke dalam sungai.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Jul 30: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemandu kren yang terjatuh bersama jentera berat itu ke dalam Sungai Rajang masih gagal menemui mangsa, setakat petang semalam.

Operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada pukul 6.10 petang selepas mangsa, Kiing Sih Hock, 59, belum ditemui.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepanjang hari tadi, operasi SAR dijalankan secara ‘surface searching’ menggunakan bot penyelamat bersama agensi lain.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan.

Katanya, operasi dilakukan dalam radius 5 kilometer dari lokasi mangsa dan kren tersebut terjatuh ke dalam sungai.

“Pos kawalan bomba juga telah dibuka yang terletak di Wharf Polis sepanjang Ops SAR dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, sekiranya orang awam terjumpa mangsa, sila berhubung terus dengan Sarjan Azni Shah di talian 019-8408740.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang pemandu kren dilaporkan hilang selepas jentera yang digunakan untuk memunggah kayu balak terjatuh ke dalam Nanga Emang, Sungai Rajang, petang Isnin.

Mangsa yang dilaporkan hilang dikenalpasti sebagai Kiing Sih Hock dan berasal dari Sibu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima laporan kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit pada pukul 7.46 petang. — DayakDaily