Oleh Dean Adam
BELAGA, Mei 12: Pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah tiba di lokasi kejadian sebuah bot karam yang mengakibatkan dua lelaki dilaporkan hilang di Ulu Bakun, Batu Keling dekat sini semalam.
Dua mangsa yang dilaporkan hilang itu dikenal pasti sebagai Wahab Jambu, 50-an dan Law Yew Ngee, 43.
Manakala, mangsa yang selamat iaitu pemandu bot tersebut dikenal pasti sebagai Siring Angah, 60-an.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pasukan bomba dari BBP Bintulu dilaporkan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 4.45 petang selepas bertolak dari balai pada pukul 7.12 pagi.
Jelasnya, berdasarkan maklumat diterima, bot yang dinaiki dua mangsa dikatakan telah terbalik sebelum karam ketika bergerak ke sangkar ikan yang jarak kira-kira 15 meter dari jeti tempat berlepas di situ.
“Kedudukan kedua-dua mangsa yang tidak seimbang menyebabkan bot tersebut terbalik.
“Maklumat saksi kejadian menyatakan salah seorang mangsa dipercayai tidak pandai berenang telah memaut rakannya hingga menyebabkan kedua-duanya terus tenggelam, manakala pemandu bot selamat,” katanya di sini malam ini.
Jurucakap sama menambah, tiga anggota penyelam telah melakukan selaman dengan kedalaman kira-kira 18 meter di lokasi kejadian.
Katanya, operasi selaman adalah sukar berikutan jarak penglihatan dalam anggaran kira-kira 0.3 meter serta terdapat batang pokok reput yang masih berada di dalam tasik empangan tersebut.
“Pencarian secara ‘surface searching’ juga dilakukan dengan menggunakan bot dalam radius 15 negeri dari lokasi bot mangsa terbalik.
“Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 5 petang dan akan disambung semula esok,” katanya. — DayakDaily