Ops Bot Karam di Ulu Bakun: Dua lelaki hilang ditemui mati lemas

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

BELAGA, Mei 13: Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai karam di Ulu Bakun, Batu Keling pada Sabtu lalu ditemui mati lemas, hari ini.

Seorang mangsa, Wahab Jambu, 50-an, ditemui mati lemas kira-kira pukul 11.20 malam tadi.


Manakala, seorang lagi mangsa, Law Yew Ngee, 43, ditemui pada pukul 4 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa pertama ditemui selepas mayatnya timbul di permukaan air di lokasi yang sama bot mereka terbalik sebelum karam.

Katanya, identiti mangsa dikenalpasti sebagai Wahab Jambu melalui pakaian yang dipakainya.

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa.

“Mangsa kedua juga dijumpai terapung di permukaan air dalam jarak kira-kira 1 meter dari mangsa pertama ditemui sebelum itu.

“Mangsa dicam adalah Law Yew Ngee melalui pakaian yang digunakannya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu ditamatkan pada pukul 8.30 pagi,” jelasnya.

DayakDaily sebelum ini melaporkan, dua lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas sebuah bot yang dinaiki mereka untuk memancing ikan dipercayai karam di situ. — DayakDaily