Operasi SAR pembantu tekong, lima pemancing hilang diperluaskan

Operasi pencarian melalui udara oleh Bomba.

KUCHING, 5 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pembantu tekong yang memasuki hari keempat hari ini diperluaskan kawasan pencariannya.

Pengarah Maritim Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata pencarian diperluaskan sehingga perairan Santubong, Pulau Satang, Pulau Sempadi sehingga ke Tanjung Datu.

Katanya keluasan pencarian hari ini merangkumi kawasan seluas 450.24 batu nautika persegi.


Bagaimanapun, setakat jam 3 petang, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan mangsa.

Tambahnya, keadaan cuaca pada hari ini dilaporkan agak berangin dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan laut berombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter

Sebanyak 10 buah aset pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian di laut serta pesisir pantai hari ini.

“Ia melibatkan sebuah aset bot Maritim Malaysia, dua aset Pasukan Polis Marin, tiga aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebuah aset Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), sebuah aset Angkatan Pertahanan Awam Malayisa (APM) serta dua aset Sarawak Coast Guard turut terlibat bagi pencarian di laut.

“Beberapa bot pancing komuniti maritim turut membantu melakukan pencarian,” katanya.

Bagi pencarian udara pula, aset Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia melakukan pencarian dari Santubong ke Tanjung Datu.

Sementara itu, operasi SAR mencari empat pemancing dan tekong bot yang dilaporkan hilang 3 Oktober lalu tertumpu di perairan Karang Berumput/Tukun Bass sehingga ke perairan Tanjung Datu.

Jelasnya keluasan kawasan pencarian merangkumi seluas 381.48 batu nautika persegi.

“Pencarian melalui udara dilakukan dengan menggunakan sebuah aset JBPM Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Miri iaitu Helikopter MI 171 di perairan Santubong sehingga ke Tanjung Datu, 15 batu dari pesisir pantai ke bawah.

“Lapan buah bot pancing dari komuniti maritim pula akan melakukan pencarian di pesisir pantai dan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu disebelah timur dan barat dari lokasi yang dilaporkan hilang,” katanya. — DayakDaily