Operasi SAR mangsa hilang di Sg Batang Kayan belum temui petunjuk positif

Anggota bomba sedang melakukan perbincangan operasi SAR di Sungai Batang Kayan, Lundu.
Advertisement

LUNDU, Mei 26: Hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam Sungai Batang Kayan di sini pagi tadi masih gagal mengesan mangsa.

Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 5.50 petang setelah pencarian mangsa tidak menemui sebarang petunjuk positif.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Chong Bui Chyan berkata, gerakan mencari mangsa, Mohamad Nirrahim Hipni, 29, dari Kampung Stunggang Seberang di sini telah melibatkan sembilan anggota bomba dari BBP Lundu dan tujuh anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Batu Lintang.

Advertisement

Katanya, tiga anggota polis bersama sebuah bot turut membantu dalam operasi sama.

“Seramai 17 penduduk kampung bersama 11 buah bot juga terlibat dalam gerakan mencari mangsa.

“Bagaimanapun, setakat pukul 5.50 petang tadi, kita terpaksa menangguhkan operasi SAR kerana keadaan semakin gelap. Operasi sama akan disambung semula esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu kata Chong, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 2.37 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggotanggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi melakukan operasi SAR.

“Maklumat dari rakan mangsa menyatakan ternampak mangsa telah terjun ke dalam Sungai Batang Kayan di Pangkalan Haji Mahyan di sini,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement