KUCHING, MAC 11: OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia 3 tahun yang hilang di ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, di Sri Aman, sejak 8 hari lalu masih gagal menemui mangsa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi SARV hari ini dibahagikan kepada 4 sektor.
“Sektor 1, pencarian bemula dari lokasi mangsa disyaki hilang dan menuju ke lereng Banjaran Kelingkang dengan radius pencarian 5 km.
“Manakala sektor 2 bermula dari lokasi mangsa disyaki hilang menuju kawasan ladang sawit serta sawah padi sehingga lereng Banjaran Kelingkang dengan radius 5 km.
“Sektor 3 bermula dari lokasi mangsa hilang menuju kawasan belukar serta kawasan sawah padi.
“Sektor 4 pula meliputi kawasan mangsa berhenti untuk membuang air besar dan mendaki banjaran kemudian bepatah balik turun kecerun-cerun serta mencari di lubang- lubang batu serta lembah dan kawasan paya,”menurut kenyataan media JBPM hari ini.
Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.30 petang dan akan di sambung esok jam 8:30 pagi.
Setakat ini, operasi masih belum menemui tanda – tanda mangsa.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit, Patrcik Igih Mohd Taufik mengikut datuk dan bapanya yang mengiringi kaki tangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) melakukan kerja pemasangan papan tanda pada pokok di dalam hutan bersebelahan ladang kelapa sawit itu.
Berikutan laluan pendakian menuju ke tempat pemasangan papan tanda itu agak tinggi, kanak-kanak itu ditinggalkan di sebuah pondok kecil dengan hanya berbekalkan sebotol susu dan seterusnya hilang.—DayakDaily