Operasi SAR Eric diperluaskan kawasan pencarian

Pasukan SAR melakukan pencarian di sekitar kawasan pesisir pantai.

KUCHING, 16 Mac: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Eric Chang Wei Jie, 4 tahun diperluaskan radius pencarian sehingga 1.2 kilometer dari pos kawalan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi yang memasuki hari ke-4 dilakukan di sekitar kawasan pesisir pantai serta tebing sungai.

Katanya, sehingga jam 4.30 petang tadi, masih tiada menjumpai apa-apa petunjuk mangsa.


“Komander operasi melaporkan kawasan pencarian menggunakan bot dalam radius pencarian 1 hingga 1.2 kilometer.

“Operasi pencarian menggunakan bot pasukan SAR Bomba, Polis Marin dan APMM dilakukan serta Unit Pengesan K9 Bomba, namun masih tiada menjumpai apa-apa petunjuk mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR dilancarkan di Muara Tebas sejak Ahad kerana dipercayai mangsa telah dibunuh pengasuhnya serta seorang lagi suspek lelaki dan mayatnya dibuang ke sungai di Muara Tebas.

Bagaimanapun siasatan polis yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Dua suspek yang ditangkap kini dilanjutkan tempoh reman untuk siasatan lanjut.

Manakala ibu bapa Eric yang sebelum ini juga ditangkap untuk siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis. — DayakDaily