Operasi SAR ditamatkan selepas seminggu gagal kesan mangsa

Oleh Dean Adam

LUNDU, Mac 2: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang di Kampung Stum Muda di sini telah ditamatkan selepas usaha pencarian selama satu minggu gagal menjumpai mangsa.

Ketua Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Mohd Asnan Led, berkata operasi SAR berkenaan yang memasuki hari ketujuh telah ditamatkan pada pukul 2.30 petang.

Katanya, keputusan menamatkan operasi berkenaan dilakukan selepas mendapat persetujuan semua pihak terlibat iaitu keluarga mangsa, orang kampung selain polis, bomba dan APM.

Pasukan SAR menamatkan operasi.

“Operasi akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baharu atas keperluan pihak berkenaan,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily baru-baru ini melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang hari ini selepas dikatakan tidak pulang ke rumahnya sejak 23 Februari lepas.

Mangsa, Polus Deng, 49, dikatakan keluar dari rumahnya sejak pukul 7 pagi. Maklumat dari saksi memaklumkan mangsa telah keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa membawa sebatang kayu menuju ke arah hutan belakang rumahnya. — DayakDaily