Operasi perniagaan digital norma baharu, terbukti tingkatkan jualan

Wan Junaidi (tiga dari kiri) menyampaikan geran bantuan kepada salah seorang penerima di Lundu hari ini (Dis 12, 2020).
Advertisement

KUCHING, 12 Dis: Para usahawan perlu membuat persiapan yang sewajarnya dalam migrasi operasi perniagaan dari tradisional ke digital.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia terbukti meningkatkan jualan dan memastikan kelangsungan perniagaan di era Covid-19.

Berdasarkan tinjauan jelas beliau, terdapat peniaga-peniaga yang menikmati peningkatan penjualan hingga 500 peratus setelah mereka berhijrah ke perniagaan dalam talian.

Advertisement

“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baharu. Disebabkan dari kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian.

“Mereka yang enggan berubah, seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka.

“Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM187,200 di Dewan Masyarakat Lundu, dekat sini, hari ini.

Menerusi pemberian geran itu, seramai 28 penduduk dan 55 badan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lundu menerima bantuan kewangan bernilai hampir RM200,000.

Dalam pada itu, Wan Junaidi yang juga MP Santubong meminta agar peniaga-peniaga kecil dan informal mendaftar perniagaan mereka dengan pihak berwajib.

Ini bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan yang telah disediakan oleh Medac dan semua agensi-agensinya.

Katanya, dianggarkan terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara.

“Oleh kerana mereka tidak berdaftar, Medac tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini.

“Kami prihatin dengan keadaan mereka dan kami ingin menolong mereka. Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan mereka agar apa sahaja bantuan yang ada dapat kita diberikan melalui saluran yang betul,” ujar beliau.

Mengulas berhubung pemberian geran tersebut, Wan Junaidi berkata ia khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan.

Jelas beliau lagi, kesihatan adalah sangat berharga manakala pendidikan pula dapat untuk membantu seseorang memperbaiki dirinya dari segi ekonomi dan juga rohani. — DayakDaily

Advertisement