KUCHING, Mei 20: Polis Sarawak terus memperhebatkan operasi membanteras kegiatan judi haram di seluruh negeri ini apabila mencekup 19 kaki judi, semalam.
Kesemua kaki judi yang ditahan tersebut berumur antara 17 hingga 51 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, semua suspek dicekup di tujuh daerah iaitu di Padawan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.
Jelas beliau, hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan, polis telah menyerbu premis nombor loteri tidak berlesen, judi siber, judi holo dan ‘bookie’.
“Semasa serbuan tersebut, polis berjaya menahan 17 lelaki dan dua wanita selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti judi haram itu.
“Polis juga berjaya merampas 12 telefon bimbit, tiga komputer riba, slip pertaruhan dan barangan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Leong mengulas lanjut, semua suspek berkenaan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Tegas beliau, pihaknya akan meneruskan operasi sama dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan judi haram dibanteras sepenuhnya.
“Kes tersebut disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily