Empat bangunan terbakar, seorang wanita melecur

Anggota bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

BETONG, Mei 20: Malang menimpa seorang wanita warga emas apabila melecur di kaki dan tangannya dalam satu kejadian kebakaran melibatkan empat bangunan di Kampung Tengah Beladin, Pusa di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.10 pagi.


Jelas beliau, berdasarkan laporan diterima, terdapat empat bangunan terlibat dalam kebakaran itu iaitu masing-masing sebuah rumah kediaman, rumah kedai, stor penyimpanan minyak dan kilang papan.

Kesan kebakaran melibatkan empat bangunan.

“Sejurus menerima laporan itu, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di kampung berkenaan, pasukan bomba mendapati terdapat tiga buah bangunan musnah terbakar 100 peratus, manakala kilang papan pula terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pihaknya mengambil masa kira-kira enam jam untuk mengawal kebakaran itu.

Katanya, buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat.

“Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 7.50 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily