KUCHING, Jun 12: Fasa ke-empat Operasi Anti Rabies meliputi Daerah Serian dan Simunjan akan bermula serentak pada Jun 20 hingga 25 ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai rabies di sini hari ini.
Katanya, setakat ini wabak rabies diisytihar pada Bencana Tahap 2 di Sarawak dan telah meragut 17 nyawa sejak Mei 2017 dengan seorang mangsa masih menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak.
“Ia adalah menyedihkan apabila kes positif manusia dijangkiti rabies masih lagi berlaku.
“Kita mesti dan akan mengambil serius hal ini terutama dalam operasi anti rabies yang sedang dan akan dijalankan,” kata Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut.
Tambahnya, meskipun selepas nasihat yang kerap disebarkan mengenai bagaimana untuk merawat sebaik selepas digigit anjing dalam akhbar, media sosial dan poster, masih ada individu yang mengabaikan rawatan tersebut.
“Rawatannya adalah mudah. Pertama, cuci selepas digigit atau sapu luka dengan sabun dan air mengalir selama 5 hingga 10 minit.
“Selepas itu, segera ke hospital atau klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata Uggah.
Dalam pada itu, Uggah berkata jawatankuasanya telah mengadakan tiga fasa operasi setakat ini meliputi Lundu, Bau, Padawan, Samarahan dan Kuching.
“Kita berjaya memindahkan 5,867 anjing dan 38 kucing terbiar.
“Secara amnya, saya percaya kita telah mencapai objektif kita meskipun berdepan dengan beberapa kelemahan, cabaran dan halangan.
“Saya harap operasi akan datang akan dijalankan dengan mengikut arahan dan lebih efektif,” katanya.
Untuk rekod, operasi di Serian akan meliputi 257 kampung dengan 18,837 isu rumah.
Dianggarkan sejumlah 7,817 anjing milik kepada 3,900 pemilik dan 552 adalah liar.
Setakat tahun ini, 25 anjing telah divaksin.
Tahun lepas, sebanyak 9,457 anjing telah divaksin termasuk di daerah Tebedu.
Bagi daerah Simunjan, operasi akan meliputi 144 kampung dan 12 ladang kelapa sawit.
Daerah ini dikatakan mempunyai kira-kira 104 anjing terbiar manakala 257 anjing lain belum divaksin.
Turut hadir pada mesyuarat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Dato Dr Chai Khin Chung, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinari Negeri Dr Adrian Susin dan Superitendan Ang Siaw Aun mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak. — DayakDaily