Lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas tidak balik rumah sejak Sabtu lepas

Operasi SAR seorang lelaki warga emas sedang dilakukan.

Oleh Dean Adam

BETONG, Jun 12: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Rh Anji, Mupuh Barok Spak sejak, Sabtu lepas.

Mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Jam Jayan, berusia 63 tahun.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi pihak polis pada pukul 9.55 malam tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, mangsa yang hilang dikatakan mempunyai kurang daya ingatan.

“Hasil maklumat daripada adik mangsa, semasa kejadian lelaki berkenaan dikatakan telah menggunakan pintu belakang rumah untuk keluar kerana pintu hadapan dikunci dari dalam dan pintu belakang tidak berkunci.

“Disebabkan risau mangsa tidak pulang ke rumah selepas itu, ahli keluarganya telah membuat laporan di Balai Polis Betong untuk mendapatkan bantuan setelah usaha mencari mangsa disekitar kawasan rumah panjang gagal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, komander operasi melaporkan anggota bomba bergerak ke lokasi pada pukul 8.12 pagi dan operasi pencarian telah dimulakan pada pukul 9.45 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan dengan radius pencarian 500 meter dari pos kawalan bomba.

“Pasukan SAR dibahagi kepada dua kumpulan dengan tumpuan di kawasan jalan darat dan sungai, manakala (carian di) kawasan sungai menggunakan bot penduduk kampung.

“Maklumat selanjutnya akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya. ā€” DayakDaily