LUBOK ANTU, 8 Ogos: Sebuah kedai di pekan Lubok Antu dikesan menyembunyikan lima kotak minyak masak paket satu kilogram dalam operasi ‘Op Samar’ hari ini.
Perkara tersebut terbongkar apabila Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyamar sebagai orang awam dan diberitahu tiada stok minyak masak tersebut.
Pemeriksaan kemudian terus dilakukan dan berjaya menemukan 85 kilogram minyak masak jenama Reiser di dalam stor kedai berkenaan.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak.
Jelasnya, premis tersebut disyaki melakukan kesalahan menyorok barang kawalan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2 juta dan RM5 juta jika ditangkap untuk kali kedua dan seterusnya. — DayakDaily