PRU15: SEDAR sedia bahagi kerusi dengan PKR dan AMANAH

Dato Othman Abdillah

KUCHING, 8 Ogos: Sasaran Parti Sedar Rakyat Sarawak untuk mewujukan pertandingan satu lawan satu di kerusi-kerusi majoriti Melayu/Melanau akan tercapai sekiranya PKR dan Amanah berpendirian yang sama.

Presidennya Dato Othman Abdillah berkata, dalam mengamalkan demokrasi, SEDAR tidak dapat menghalang mana-mana pihak untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Oleh itu, SEDAR bersedia untuk mencapai jalan penyelesaian pembahagian kerusi-kerusi majoriti Melayu/Melanau dengan kedua-dua parti itu, ” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Othman, ketidakpuasan hati rakyat terhadap penghakisan hak Sarawak atas kelemahan perwakilan parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) di parliamen sejak dahulu lagi kini semakin ketara.

Namun katanya, usaha untuk menggantikan parti-parti itu supaya rakyat mendapat perwakilan yang lebih berkesan telah terhalang kerana pecahan undi di antara parti-parti lawan sendiri.

Tambah beliau, sebelum ini SEDAR telah mencapai kata sepakat dengan lain-lain parti tempatan untuk tidak bertembung sesama sendiri dalam PRU 15 akan datang.

Dalam persepakatan itu, SEDAR akan fokus kepada kawasan kerusi parlimen majoriti Melayu/Melanau.

“Oleh itu, SEDAR berharap PKR dan Amanah bersedia untuk membuka ruang kepada pertandingan satu lawan satu menentang GPS, terutamanya di kawasan majoriti Melayu/Melanau,” ujarnya. — DayakDaily