Op Parti Liar: 14 individu serta pemilik pusat hiburan dikompuan RM71,000

Pelanggan yang dikompaun dalam operasi tersebut.

KUCHING, 9 Jun: Sebuah pusat hiburan di Jalan Canna, di sini diserbu dan 14 pelanggannya dikompaun dalam satu operasi malam tadi (Selasa).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata bertindak atas maklumat, Team Khas IPD Kuching diketua Ketua BSJN ASP Sayuti Hamid telah membuat serbuan sekitar jam 10.30 malam.

Beliau memberitahu, semasa serbuan dibuat, terdapat 12 lelaki warga tempatan dan dua wanita termasuk seorang wanita warga asing sedang berhibur di dalam satu bilik khas..


Kesemua mereka yang berusia 20 hingga 30an kemudian ditahan dan dikompaun RM1,500 seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

Sementara itu, pemilik premis turut dikompaun RM50,000.

Selain itu, tiga daripada pelanggan di yang diperiksa juga disahkan positif dadah.

Pasukan operasi turut menemui dadah disyaki serbuk ecstacy dianggarkan seberat 45.7 gram dan dua paket serbuk dadah jenis ketamin.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily