‘Op Bugil’: Awas sindiket goda, rakam dan ugut di media sosial

Mancha (kiri) semasa bercakap dalam sidang media tersebut hari ini. Turut kelihatan Ketua JSJ Sarawak SAC Lukas Aket (dua kiri) bersama dua lagi pegawai JSJ Sarawak.
Advertisement

KUCHING, 11 Mei: Orang ramai diingatkan berwaspada dengan satu sindiket yang mengunakan gambar wanita berwajah cantik dan badan yang seksi untuk memerangkap mangsa terutamanya lelaki di media sosial.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata sindiket terbabit aktif mencari mangsa-mangsa mereka melalui platform seperti Facebook, MiChat, WeChat dan WhatsApp.

Katanya, melalui Op Bugil, Polis Sarawak telah menerima 29 laporan berhubung sindiket ini tahun lepas dan enam lagi laporan diterima pada tahun ini.

Advertisement

“Suspek akan berkenalan dengan mangsa-mangsa melalui media sosial dan mengumpan mereka dengan gambar-gambar wanita yang cantik.

“Seterusnya, suspek akan membuat panggilan video kepada mangsa dan mempamerkan aksi lucah sehingga berjaya memperdayakan mangsa untuk turut sama melakukan adegan lucah.

“Tanpa disedari mangsa, panggilan video itu dirakam suspek dan rakaman tersebut akan digunakan mengugut mangsa,” katanya dalam satu sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

Jelas beliau lagi, sindiket tersebut akan terus mengugut mangsa untuk menyebarkan video rakaman tersebut sekiranya mangsa enggan membayar sejumlah wang.

“Kerana risau dengan ugutan tersebut, mangsa-mangsa ini akan bersetuju membayar wang yang diminta suspek.

“Wang tersebut akan dimasukan ke dalam akaun-akaun bank milik pihak ketiga yang digunakan oleh sindiket ini,” katanya.

Dedah Mancha, 29 kes yang dilaporkan pada tahun lepas melibatkan kerugian RM114,730 dan enam lagi kes pada tahun ini membabitkan kerugian sebanyak RM22,200.

Mangsa yang sebelum ini adalah di kalangan lelaki berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun.

“Kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 384 dan 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

“Sehingga kini, terdapat empat kes berjaya diselesaikan dengan tangkapan enam suspek di Kuching dan Serian yang kesemuanya lelaki tempatan berusia 30 hingga 40 tahun,” katanya.

Menurut Mancha juga, enam suspek terbabit juga antara pemilik akaun bank yang digunakan oleh sindiket terbabit.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya untuk menyewakan atau memberi kebenaran kepada pihak lain untuk menggunakan akaun bank hanya untuk mendapatkan sejumlah wang yang dijanjikan sindiket.

“Individu yang memberi pinjam atau menyewa akaun bank juga boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. — DayakDaily

Advertisement