Op Benteng: Tentera usir 10 PATI cuba masuk guna laluan tikus

PATI yang diusir keluar dari Sarawak.

KUCHING, 29 Sept: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berjaya mengusir 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) keluar setelah cuba masuk ke Sarawak melalui lorong tikus dalam dua operasi Op Benteng di Biawak, Lundu dan di Kampung Stass, Serikin, Bau hari ini.

Melalui kenyataan akhbarnya, difahamkan pengusiran pertama berlaku pada jam 11.45 pagi, di mana sembilan individu dipercayai PATI dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

Katanya, setelah ditahan dan disoal siasat, kesemua mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia di antara 21 hingga 49 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.


“Mereka juga menyatakan tujuan memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan,” katanya.

Manakala pengusiran kedua berlaku pada jam 11.54 pagi di lorong tikus Kampung Stass, Serikin.

“Seorang individu dipercayai PATI dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia oleh sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan berkenaan.

“Dia kemudian diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan Polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tegasnya, Tentera Darat senantiasa berwaspada dalam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara sentiasa terpelihara. ā€” DayakDaily