Op Benteng: 15 Pati diusir dalam tempoh 4 hari berturut-turut

Kelihatan enam Pati yang diusir keluar.

KUCHING, 5 Okt: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) diusir keluar dalam tempoh empat hari mulai 1 hingga 4 Oktober 2021.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam satu kenyataan berkata ia hasil empat operasi berasingan di bawah Op Benteng.

“Pengusiran pertama dilaksanakan pada 1 Oktober lalu jam 3.50 petang, di mana tiga individu berusia di antara 19 hingga 45 tahun dikesan cuba memasuki kawasan Ladang Tetangga Akrab, Balai Ringin dari arah Indonesia.


“Manakala, pengusiran kedua pada 2 Oktober di Lubok Antu membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki berusia di antara 22 hingga 47 tahun yang cuba masuk ke sempadan Malaysia melalui lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, dua Pati lelaki berusia 24 tahun ditahan dan diusir pada 3 Oktober pula berlaku di Kampung Padang Pan, Serikin.

Manakala, pada 4 Oktober, seramai enam lagi Pati berusia antara 20 hingga 46 tahun terdiri daripada seorang wanita dan lima lelaki turut ditahan atas kesalahan sama di kawasan Biawak kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia–Indonesia.

“Difahamkan, kesemua Pati yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain menyatakan tujuan mereka menyelinap masuk adalah untuk mencari pekerjaan di pelbagai sektor di Sarawak,” menurut kenyataan itu. — DayakDaily