OKT lolos: Polis lancar Ops Tutup

Escape. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, Okt 23: Polis Kuching kini sedang memburu seorang tahanan lelaki yang melarikan diri daripada kawalan anggota pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang ketika suspek yang berusia 34 tahun dan tahanan lain bersama anggota pengawal pengiring di pondok pengawal IPD Kuching.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superitendan Abang Junaidi Abang Annuar ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian berkenaan.

Advertisement

“Semasa kejadian suspek bersama tahanan Orang Kena Tangkap (OKT) lain yang dikawal anggota pengiring yang sedang menunggu kenderaan untuk membawa tiga OKT ke Penjara Pusat di Puncak Borneo dari mahkamah.

“Namun suspek semasa kejadian berjaya membuka gari sebelum melarikan diri ke luar pagar IPD Kuching,” katanya.

Menurut beliau, anggota yang bertugas di bilik pengawal cuba mengejarnya namun suspek berjaya masuk ke sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang menunggu diluar pagar sebelum memecut ke arah jalan besar.

“Suspek ketika melarikan diri memakai baju berwarna ungu dan berseluar jeans biru,” ujarnya.

Abang Junaidi menegaskan ekoran kejadian arahan dan gerakan untuk menangkap suspek dikeluarkan.

“Semua elemen polis Kuching diarahkan untuk mengaktifkan ‘Ops Tutup’ untuk mencari dan menangkap suspek,” katanya. — DayakDaily

Advertisement