Nyawa lelaki nyaris melayang selepas terlibat dalam kemalangan

Anggota bomba membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan kendiri.
Advertisement

BINTULU, Sept 11: Nyawa seorang lelaki nyaris melayang apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya berpusing beberapa kali sebelum terbabas di Jalan Persisiran Pantai Samalaju-Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, lelaki berkenaan bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.19 pagi.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan mengenai insiden tersebut, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah kenderaan Isuzu Dmax terbabas di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berjaya keluar dari kenderaan tersebut, namun dia kelihatan cedera di beberapa anggota badannya,” katanya di sini hari ini.

Tambah jurucakap sama, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu berpusing sebelum terbabas di bahu jalan.

“Tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan berkenaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement