Nurul Izzah diminta menarik balik pengumuman letak jawatan

Abun Sui Anyit (file photo)

KUCHING, Dis 18: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dari cabang Hulu Rajang meminta Nurul Izzah Anwar menarik balik pengumumannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden (PKR).

Ketua Cabang PKR Hulu Rajang, Abun Sui Anyit berkata pihaknya mengambil maklum perletakkan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri Pulau Pinang dan menganggapnya telah dibuat pemimpin PKR itu tanpa pertimbangan menyeluruh.

“Kami memohon agar Nurul Izzah menarik balik perletakan jawatan tersebut kerana jawatan Naib Presiden itu datangnya dari undi anggota parti yang telah memenangkannya dalam pemilihan parti dengan undi tertinggi,” katanya dalam kenyataan medianya di laman Facebooknya hari ini.

Abun Sui berkata pihaknya percaya keputusan perletakkan jawatan yang dibuat Nurul Izzah tidak nampak kewajarannya kerana beliau merupakan antara individu yang telah terlibat secara langsung sejak dari awal penubuhan parti yang juga Puteri Reformasi KEADILAN pada ketika itu dan konsisten hingga sekarang.

“Justeru, kami sekali lagi memohon kepada beliau untuk mengambil masa bertenang untuk menimbangkan semula keputusan yang telah dibuat dengan mengambil kira sokongan ahli yang jelas untuk beliau yang diketahui bukan sahaja ahli-ahli PKR bahkan seluruh dunia,” katanya.

Katanya kemenangan beliau sebagai Naib Presiden dalam pemilihan parti yang lepas tidak harus dilepaskan begitu sahaja tanpa mengambil kira sokongan ahli.

“Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri Pulau Pinang kerana kita yakin dan percaya Presiden telah berunding dengan Ketua-Ketua Cabang sebelum beliau mengumumkan pilihan mereka,”katanya.

Katanya ahli cabang itu berpendapat bahawa janganlah kerana telah ditakdirkan sebagai anak presiden parti maka segala ruang dan peluang tertutup dan tidak boleh memegang jawatan penting dalam parti dan kerajaan sedangkan jawatan itu diperolehi hasil usaha Nurul Izzah sendiri sebagai individu dan sokongan ahli parti.

Selain itu ahli dari Hulu Rajang itu sangat mengenal perjuangan Nurul Izzah dalam parti itu walaupun kawasan cabang terbabit sangat luas dan paling pedalaman. — DayakDaily