Mr World, Buda Anchah bakal terima ganjaran atas pencapaian di Thailand

Buda (memegang pingat) yang tiba di KIA disambut meriah ahli keluarga dan ahli SBBA.

KUCHING, Dis 18: Jaguh bina badan Malaysia, Buda Anchah yang meraih gelaran Mr World baru-baru ini bakal menerima insentif dari Majlis Sukan Negara (MSN).

Insentif tersebut dijanjikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai penghargaan dan habuan setelah beliau memenangi pingat emas kategori master peringkat umur 40-49 taun.

Buda, 46, bertanding di Kejohanan World Bodybuilding Phsique Sports Federation(WBPF) Ke-10 yang diadakan di Chiang Mai, Thailand bermula Disember 11-17.


Ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) jam 10:45 malam tadi, beliau berkata insentif tersebut dimaklumkan Syed Saddiq yang turut menunggu ketibaan kontinjen Malaysia dari Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) petang kelmarin.

“Beliau (Syed) ada memaklumkan pada saya yang MSN akan memberi insentif diatas pencapaian ini.

“Saya akan ke Kuala Lumpur semula pada Rabu ini dan ianya berkaitan dengan insentif tersebut,” kata Buda.

Syed Saddiq (dua kanan) meraikan kejayaan pingat emas dan perak Buda di KLIA2 petang kelmarin

Atlit kelahiran Jaong, Sri Aman itu mengulangi pencapaian beliau pada tahun 2013 di kejohanan sama yang diadakan di Budapest, Hungary.

Selain daripada itu, di kejohanan tahun ini Buda turut memperolehi pingat perak kategori master 70kg.

Ketibaan Buda di KIA semalam disambut meriah ahli-ahli Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) yang diketuai Setiausaha Kehormat Negeri Andy Ismail.

Andy yang turut ditemubual pemberita berkata persatuan itu akan memberi insentif khas kepada Buda dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) pun sedang memikirkan ganjaran untuk beliau.

“Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan ada mencadangkan sesuatu (insentif) buat beliau,” kata Andy.

Turut berada di KIA isteri Buda, Mahani Lijau dan ahli-ahli keluarga terdekat. — DayakDaily