Nurul Izzah umum letak jawatan dalam PKR

Nurul Izzah Anwar

KUCHING, Dis 17: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Nurul Izzah dalam satu kenyataan media berkata, beliau juga melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Jelas beliau, pucuk pimpinan utama PKR telah dimaklumkan dengan keputusan tersebut.


“Bagaimanapun, khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan sebagai penggubal polisi masih diteruskan sehingga tamat tempoh yakni pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya juga akan tetap kekal sebagai ahli biasa PKR. Sukacita juga saya maklumkan yang saya juga tidak lagi akan berkhidmat untuk mana-mana jawatan di peringkat persekutuan,” katanya hari ini.

Nurul Izzah menambah, beliau juga menyerahkan kepada keputusan parti berhubung jawatan yang dilantik di peringkat syarikat di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pun begitu ujarnya, beliau akan kekal selaku Ahli Parlimen ‘backbencher’ yang komited dengan agenda reformasi.

“Saya juga serahkan keputusan kepada pucuk pimpinan berkait dengan lantikan oleh parlimen sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya telah pun melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang setelah terpilih sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Namun demikian, saya akan tetap meneruskan kerja-kerja advokasi sebagai sebahagian daripada rakyat dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Nurul Izzah menjelaskan, kekesalan utama beliau adalah pengumuman itu sepatutnya dilakukan lebih awal, namun ternyata ianya bukan sesuatu yang mudah untuk disuarakan.

Jelasnya, kelewatan mengumumkan keputusan itu mengambil kira perkembangan politik yang sepertinya tidak berpenghujungan selama sembilan bulan diikuti dengan pemilihan parti yang begitu sengit dan mencabar.

“Maka ditakdirkan saat inilah (hari ini) masanya keputusan ini diumum.

“Setelah menimbang tara segalanya dan melihat situasi ini dalam perspektif yang lebih besar sejajar dengan di mana saya berdiri dan pegangan saya berkaitan dengan politik, saya harus mengotakan apa yang bertakhta di dalam hati,” katanya. — DayakDaily