Nissan Navara terbabas dan terbalik, pemotong rumput maut dirempuh

Keadaan kemalangan di tempat mangsa dirempuh Nissan Navara.

MIRI, Mei 16: Seorang pemotong rumput terkorban selepas dilanggar sebuah Nissan Navara yang terbabas di KM43, Jalan Lama Miri-Bintulu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Meli Manggang, 50, dari Kampung Tunku Abdul Rahman Sungai Setulai Lambir di sini meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Menurut sumber, semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang bekerja memotong rumput di bahu jalan berkenaan.


Katanya, malang menimpa mangsa apabila sebuah Nissan Navara yang sedang menuju ke Miri dari arah Bintulu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa di situ.

“Nissan Navara itu terbabas selepas pemandunya yang berusia 60 tahun tidak menyedari ada sebuah van diletakkan di laluan di hadapannya.

“Setelah dekat dengan van tersebut baru dia sedar dan cuba mengelak lalu terbabas sebelum melanggar mangsa,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun dalam keadaan terbalik.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. ā€” DayakDaily