Niosh teruskan inisiatif penambahbaikan program dalam tahun 2022

Kelihatan Wilson ketika berucap di Majlis Amanat Niosh 2022.

KUCHING, 10 Jan: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) beriltizam untuk meneruskan pelbagai inisiatif sama ada penambahbaikan kepada program sedia ada mahupun program baharu yang diperkenalkan.

Menurut pengerusinya Datuk Wilson Ugak Kumbong, institut tersebut telah menggariskan dua teras strategik di dalam Pelan Busines Niosh.

“Pertama, untuk menambahbaik selanjutnya ‘standard’ Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja (KKP) di tempat kerja, dan kedua, untuk memperkukuhkan kelestarian perniagaan Niosh,” katanya pada Majlis Amanat Niosh 2022 di Kuala Lumpur hari ini.


Tambah Wilson, Niosh juga akan memperkenalkan dan mempromosikan produk baharu dan sedia ada yang selaras dengan inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Inklusiviti, Persamaan dan Kepuasan.

Katanya, program dan aktiviti Niosh 2022 akan berlandaskan kepada tonggak tersebut dengan agenda mempertingkat dan memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada rakyat Malaysia dengan keterangkuman, kebersamaan dan kepuasan.

“Kesemua aktiviti ini merangkumi latihan dan pendidikan, pembangunan dan penyelidikan serta penyebaran maklumat,” ujar Wilson. — DayakDaily