Nilai dagangan Sarawak-Brunei cecah RM3.76 bilion pada 2023

Awang Tengah berucap di majlis yang diadakan di Bandar Seri Begawan. Foto: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 24 Jun: Nilai dagangan dua hala di antara Sarawak dan Brunei Darussalam pada tahun 2023 cecah RM3.76 bilion, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Awang Tengah berkata, jumlah dagangan itu meningkat 23.8 peratus berbanding RM3.04 bilion pada 2022.

Advertisement

“Kita percaya kerjasama rapat Sarawak dengan Brunei akan meningkatkan lagi nilai perdagangan.

“Oleh itu, kita akan mempergiatkan usaha untuk memudahkan perdagangan antara Brunei dan Sarawak terutamanya melalui ekspo perdagangan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi Bersama Diaspora Sarawak di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam di Bandar Seri Bagawan semalam.

Sementara itu, Awang Tengah memberitahu, kerajaan Sarawak sedang membangunkan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) yang akan disepadukan dengan rangkaian jalan raya Brunei Darussalam.

Jelasnya, pembangunan infrastruktur lebuh raya itu sekaligus memudahkan lagi perdagangan dan pelaburan antara Brunei dan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak juga akan mengukuhkan kerjasama dalam aspek telekomunikasi untuk menyediakan ketersambungan di pintu masuk sempadan,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap, Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi berkata, pada tahun 2023, Brunei merupakan rakan dagangan global ke-30 terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala hampir mencecah RM10 bilion.

Tambahnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan mengalu-alukan pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) pada tahun ini yang secara langsung meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Brunei dan Sarawak. — DayakDaily

Advertisement