Niat pergi ke kebun, namun lelaki warga emas ditemui mati lemas

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Nov 27: Seorang lelaki warga emas ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Raya Undop di sini hari ini.

Mangsa, 73, yang menetap di Rumah Panjang Ringgit Bayang ditemui dalam keadaan terapung oleh penduduk kampung yang kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, William Baheng, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.50 pagi.

Katanya, maklumat dari orang awam mengatakan mangsa telah pergi ke kebunnya seorang diri melalui kawasan tersebut sebelum dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu.

“Sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi khas mengangkat mayat mangsa di sungai berkenaan.

“Apabila tiba, pasukan bomba, mendapati mayat mangsa dalam keadaan terapung sebelum membuat kerja-kerja mengangkat mayat lelaki warga emas terbabit,” katanya di sini hari ini.

William menambah, mayat mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dikatakan jatuh.

Jelasnya, mangsa juga dikatakan mempunyai rekod kesihatan yang kurang memuaskan.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya dan operasi ditamatkan pada pukul 12.05 tengah hari,” ujarnya lagi. — DayakDaily